Monday, December 14, 2009

PROGRAM MUHASABAH DIRI



Program anjuran Biro Penerangan dan Pendidikan, Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ini diadakan pada setiap awal bulan, hari Jumaat jam 8.00 – 9.00 pagi, bertempat di Bilik Anjung Perdana, Majlis Perbandaran Manjung. Fokus utama program ini adalah untuk memberi pendidikan serta pengetahuan khususnya kepada ahli-ahli kelab terhadap ajaran Agama Islam khususnya amalan seharian. Kehadiran peserta amat menggalakkan. Penceramah undangan adalah Ustaz Alias b. Abu Kassim yang merupakan penceramah bebas.

HARI KESINAMBUNGAN BUDAYA, SENI DAN WARISAN




21 JUN, 2009 (AHAD) –Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sosial, Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menganjurkan Hari Kesinambungan Budaya, Seni dan Warisan pada jam 9.00 pagi di Dewan Merdeka, MPM. P

Program ini bertujuan untuk meningkatkan semangat menghargai budaya warisan bangsa di samping mengembangkan bakat dan kebolehan serta mengukuhkan ikatan silaturrahim di kalangan ahli kelab.

Program yang berlangsung sepanjang hari dimuatkan dengan pertandingan permainan dam aji, pertandingan mewarna, melukis dan pertandingan permainan congkak. Acara kemuncak pada malam hari dimeriahkan dengan pertandingan nyanyian bakat karaoke serta pertandingan pakaian beragam. Acara lain pada malam tersebut adalah persembahan khas Dikir Barat dari Ahli Jawatankuasa Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sosial, KSK MPM.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Zamri bin Man, Pengerusi KSK, MPM dengan turut dihadiri oleh Encik Azizan bin Abdul Muin, Timbalan Pengerusi KSK, MPM.

KEJOHANAN BADMINTON TERTUTUP, PIALA YANG DIPERTUA, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.






15 OGOS, 2009 (SABTU) – Biro Sukan, Kelab Sukan dan Kebajikan, Majlis Perbandaran Manjung telah menganjurkan kejohanan badminton tertutup bermula jam 8.00 pagi – 11.00 malam di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung.

Kejohanan tersebut telah dibahagikan kepada 3 kategori iaitu perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan ahli-ahli kelab. Sebanyak 16 penyertaan bagi kategori perseorangan, 12 penyertaan bagi beregu lelaki dan 7 penyertaan bagi beregu campuran.

Johan bagi kategori perseorangan disandang oleh Encik Mohd Zaudi bin Abd. Salam sementara Encik Md. Hairudin bin Abu Seman dan Encik Khairul Anoor bin Yusuf telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori beregu lelaki. Encik Mohd Syukri bin Isa dan Cik Nazariah binti Nadzri pula telah menjuarai bagi kategori beregu campuran.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Zamri bin Man, Pengerusi KSK, MPM semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Majlis Perbandaran Manjung bil. 8/2009 bertarikh 26 Ogos, 2009. Hadiah tempat pertama bagi semua kategori berupa wang tunai RM100.00, medal dan sijil. Tempat kedua memperolehi wang tunai RM70.00, medal dan sijil. Hadiah tempat ketiga pula berupa beg peralatan sukan badminton, medal dan sijil sementara tempat keempat memperolehi baju sukan dan medal.

PROGRAM TREASURE HUNT MANJUNG – PERAK TENGAH – TELUK INTAN.






















25 JULAI 2009 (SABTU) – Program Treasure Hunt telah dianjurkan oleh Biro Lawatan, Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada jam 8.00 pagi yang melibatkan beberapa lokasi di Daerah Manjung, Perak Tengah dan Teluk Intan.

Program ini diadakan bertujuan
memberi pendedahan kepada ahli-
ahli kelab berkaitan sejarah dan warisan negeri Perak amnya dan Daerah Manjung khususnya.

Seramai 144 peserta yang terdiri dari ahli-ahli kelab dan keluarga dengan 32 buah kenderaan telah mengambil bahagian dalam program ini. Hadiah-hadiah menarik disediakan seperti penginapan 3 hari 2 malam di Teluk Rubiah Resort, barangan elektrik dan hamper.

Antara tempat-tempat menarik yang telah dijadikan sebagai ’check point’ adalah Lumut Waterfront, Pusat Penternakan Tuntung, Bota Kanan, Kompleks Sejarah Pasir Salak dan yang terakhir ialah Bandar Teluk Intan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Zamri bin Man, Pengerusi KSK, MPM di Arena Square, Majlis Perbandaran Teluk Intan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan, Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Wednesday, April 22, 2009

BENGKEL DI SWISS-GARDEN GOLF RESORT & SPA, DAMAI LAUT










11 APRIL, 2009 – Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengadakan Bengkel Percambahan Minda di Swiss-Garden Golf Resort & Spa, Damai Laut. Seramai 15 ahli jawatankuasa telah menghadiri bengkel tersebut. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincang serta membentuk kalendar program/ aktiviti Kelab sepanjang tahun 2009. Ianya juga turut memfokuskan terhadap strategi pengurusan dalam perlaksanaan program/ aktiviti KSK bagi tahun 2009, di samping mengkaji isu dan masalah yang dihadapi serta menyediakan bajet secara terancang dan berhemah bagi tahun 2009. Majlis perasmian dan penutupan bengkel ini telah disempurnakan oleh Encik Azizan bin Haji Abd. Muin, Timbalan Pengerusi KSK MPM.

LAWATAN DAN GOTONG-ROYONG RUMAH ANAK-ANAK YATIM LEKIR








10 APRIL, 2009 – Biro Lawatan dan Biro kebajikan, Kelab Sukan dan kebajikan (KSK) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menganjurkan program kali kedua gotong royong di Kompleks Pendidikan Manabil Ulum (KPMU), Batu 10, Lekir. Kompleks tersebut merupakan penempatan anak yatim piatu yang berasal dari keluarga fakir miskin yang kebanyakannya berasal daripada Seri Manjung, Parit, Kampung Gajah dan Beruas. Gotong royong yang turut disertai oleh seramai 50 ahli kelab telah diketuai oleh Tuan Zamri bin Man selaku Pengerusi dan Encik Azizan bin Haji Abd. Muin, Timbalan Pengerusi, KSK. Aktiviti ini dijalankan sebagai salah satu cara mendekatkan diri dengan masyarakat dan pada masa yang sama dapat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat. Dalam program yang bermula pada jam 3 petang, warga KPMU bersama-sama KSK MPM telah membersihkan sekitar kawasan kompleks tersebut termasuk sistem perparitan.

Sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM30.00, cenderahati berbentuk tuala serta ’goodies’ telah disampaikan oleh Tuan Zamri bin Man, Pengerusi, KSK dan Encik Azizan bin Haji Abd. Muin, Timbalan Pengerusi, KSK kepada seramai 25 orang anak-anak yatim di rumah anak yatim tersebut.

CERAMAH MAULIDUR RASUL



3 APRIL, 2009 – Sempena keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Biro Penerangan & Pendidikan telah menganjurkan ceramah Maulidur Rasul pada jam 8.00 – 9.00 pagi bertempat di Bilik Anjung Perdana, Majlis Perbandaran Manjung. Ceramah ini bertujuan untuk mengenali sirah Rasullulah saw dan ajaran yang dibawa sehingga umat akhir zaman. Ceramah ini telah dihadiri seramai kira-kira 89 orang ahli KSK MPM lelaki dan wanita. Penceramah adalah Al-fadil Ustaz Baharuddin bin Mat Ariff iaitu penceramah dai Jabatan Penerangan, Daerah Manjung.

Gambar-gambar semasa lawatan.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KUALA SEPETANG, ZOO DAN KOLAM AIR PANAS TRONG TAIPING.

28 Februari, 2009 –
Biro Lawatan, Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Manjung (KSK MPM) telah mengadakan lawatan ke Kuala Sepetang, Zoo dan Kolam Air Panas Trong, Taiping. Lawatan ini disertai seramai 45 ahli kelab serta keluarga yang diketuai oleh Puan Siti Zubaidah binti Saparun, Naib Pengerusi KSK MPM serta Tuan Haji Roslan bin Pawanteh selaku Pengerusi Biro Lawatan KSK MPM. Di Kuala Sepetang ahli-ahli kelab telah diberi taklimat oleh Encik Suhaimi bin Md. Noor, Penolong Pegawai Hutan Larut Matang dan Selama di mana kemudiannya telah di bawa melawat ke Bolkway (paya bakau) dan dapur arang.



Ahli-ahli Kelab dan keluarga juga turut dibawa melawat Zoo Taiping dan seterusnya singgah di kolam Air Panas, Trong. Program lawatan sambil belajar ini telah memberi manfaat kepada ahli-ahli serta anak-anak ahli.

Terbitan Khas Buletin KSK MPM 2008

Kelab Sukan & Kebajikan MPM telah menerbitkan buletin edisi khas bagi tahun 2008. Setiap aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Sukan Kebajikan telah dimuatkan didalam buletin edisi khas. Sebarang komen dan penambaikan boleh diajukan kepada Biro Penerangan & Pendidikan, KSK.